Dia datang dari belakang, dari kedudukan tercorot menuju pusingan akhir dan akhirnya memuktamadkan henjutannya dengan kelajuan 71.414km pada ketika mencecah garisan terbaik -- untuk dijulang oleh dua orang seterunya di atas podium.
Hanya Datuk Azizulhasni Awang yang kemenangannya diraikan dengan trademark sebegitu rupa, lantas membuktikan bahawa saiz bukan ukuran dalam satu sukan yang menuntut ledakan kudrat -- sesuai dengan jolokannya sebagai The Pocket Rocketman.
Advertisement
Apatah lagi dengan kondisi dirinya yang bangkit setelah menjalani pembedahan jantung setahun yang lalu.
Dia kembali daripada persaraannya, dengan menghadiahkan pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin, di depan penyokongnya sendiri, betapa gamatnya suasana Sabtu itu, kemuncak kepada kayuhan magisnya di Velodrom Nasional, Nilai.
Biarpun sudah beberapa hari berlalu, kejayaan dramatik Jijoe mengungguli acara keirin Piala Dunia UCI masih terngiang-ngiang dan disifatkan luar biasa -- menawan Piala Dunia UCI buat kali kedua musim ini selepas kejayaan di Perth -- apabila mengalahkan juara dunia masa kini, Harrie Lavreysen, dari Belanda.
Tapi dalam berita gembira ini turut disulami realiti pahit, bahawa ini adalah penampilannya terakhir dalam Piala Dunia UCI di tempat sendiri.

Apatah lagi pada usia 38 tahun dan muncul wakil tunggal negara dalam kedudukan pingat, pasti menjurus kepada persoalan siapakah yang akan menjadi penerus legasinya di Nilai -- setidak-tidaknya menjadi gelanggang keramat bagi pelumba kebangsaan.
Membayangkan nasib yang terjadi dalam kem badminton; Terbuka Malaysia bagaikan aura final serinya sebaik ketiadaan Datuk Lee Chong Wei.
Sejak bekas jaguh perseorangan lelaki dunia itu menggantung raket, Axiata Arena kemarau dengan sorakan kejayaan di pentas perlawanan akhir.
Kita tidak mahu ia berlarutan.
Sementelah Jijoe sendiri sudah melaungkan seruan kebangkitan terhadap adik-adiknya di kem kebangsaan.
Namun, untuk mengalihkan segala beban itu ke atas Firdaus Shah Sahrom juga tidak wajar memandangkan prestasinya memenangi perak pada edisi tahun, sambil cabarannya adalah melonjakkan prestasinya sejurus pembedahan lutut.
Begitu juga pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang menerima pengajaran dalam menangani situasi disekat pelumba berpengalaman dan juara dunia, Hetty van de Wouw.
Tak perlu panik.
Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley, dalam rumusannya menjelaskan kem kebangsaan ketika ini dalam fasa pembanngunan untuk mencecah peringkat dunia, manakala Adib Andhar Adnan dan Akmal Nazimi Jusena antara beberapa nama yang sedang dipersiapkan.
Sukan Olimpik Los Angeles 2028 mungkin terlalu jauh, namun Sukan Komanwel, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Kejohanan Dunia di Shanghai harus menjadi petanda positif kepada kebangkitan skuad berbasikal trek negara dalam menyahut seruan kebangkitan yang dicanang-canangkan.