“Sakit tolak tepi, fokus kena 100 peratus,” kata atlet boling padang negara, Muhammad Idham Amin Ramlan, yang berdepan isu ketidakselesaan di bahagian pinggang sepanjang beraksi dalam Kejohanan Malaysian Open - The Royal Patron’s Cup di Terengganu ketika ini.
Karakter seorang atlet elit jelas dipamerkan meskipun pergerakannya sedikit terjejas ketika melakukan delivery, di mana Idham enggan menjadikannya sebagai alasan.
Dengan keutamaan untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan, inisiatif sendiri diambil untuk menguruskan kecederaan itu menerusi rawatan dan teknik regangan bagi memastikan rentak permainannya tidak terganggu.
Keyakinannya semakin meningkat apabila Idham menempah slot ke pusingan kalah mati acara singles lelaki hasil daripada tiga kemenangan di peringkat kumpulan.
"Pinggang ini memang dah lama sakit cuma sebelum ini tidak ketara sangat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Sebelum ke kejohanan ini, mungkin saya ada tabiat buruk, tersalah tidur, jadi ia ada sedikit terganggu.
"Saya sudah dapat cara untuk melegakan kesakitan itu. Ketika melakukan delivery, saya bertahan dengan kaki kiri dan akan ada rasa sakit di pinggang tetapi saya mengabaikannya."