Detik mencabar sebagai pelapis boling padang negara apabila perlu beradu kekuatan dengan pemain senior di pentas akhir pairs wanita, The Royal Patron's Cup 2026 di Gong Badak, Terengganu.
Namun, gandingan pelapis negara, Nurul Alia Liyana Alimi dan Puteri Nur Annissa Sofea Shukor, membuktikan kemampuan mereka apabila merangkul pingat emas dengan menumpaskan wakil Program Podium, Nurul Balqis Anisha Bakar dan Nur Syafira Rezuan menerusi penentuan tie-break.
Segala kerja keras akhirnya terbalas pada saat mereka menggapai gelaran juara meskipun terpaksa mengorbankan banyak perkara demi bergelar atlet kebangsaan pada usia muda.
Nurul Alia dan Puteri Nur Annissa menegaskan, kejayaan itu bukan lah hasil usaha sendiri, sebaliknya hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta bimbingan barisan kejurulatihan yang menjadi tulang belakang perkembangan mereka.
"Saya ucapkan selamat hari jadi buat ibu saya, tempoh hari saya lupa untuk ucapkan.
"Saya berasal dari Langkawi dan belajar di Johor, setiap hari saya menjalani latihan, kata Puteri Nur Annissa.
Tambah Nurul Alia Liyana pula: "Kami banyak berkorban termasuk wang ringgit. Memandangkan saya sedang menjalani latihan industri, jadi agak sukar untuk atur latihan.
"Saya perlu berlawan dengan pemain senior yang dalam Program Podium. Lagipun saya ingin buktikan kemampuan sebagai pelapis negara."