Pingat emas dirangkul untuk negara, hadiah paling manis buat keluarga.
Kejayaan Ahmad Zikry Sazeli menjuarai acara singles lelaki Malaysian Open - The Royal Patron’s Cup dianggap rezeki anak apabila dia dan isteri menghitung hari menyambut cahaya mata sulung yang dijangka lahir April tahun depan.
Kilauan emas di Gong Badak, Terengganu, itu tersirat coretan makna dedikasi yang tak ramai tahu.
Terpaksa menempuh rutin perkahwinan jarak jauh sejak menyertai Program Podium pada awal tahun, atlet boling padang kebangsaan itu menyifatkan kecekalan isteri adalah sumber kekuatan terbesar sepanjang berjuang di atas gelanggang.
"Kejuaraan ini dihadiahkan kepada isteri yang mengandung zuriat pertama anak kami," katanya di Nadi Arena.
Berbekalkan pemahaman tinggi terhadap karakter green serta latihan taktikal dan kecergasan yang konsisten, dia tampil cemerlang menumpaskan wakil India, Ruptu Gogoi, menerusi straight set untuk menutup cerita final dengan ukiran senyuman.
"Salah salah cabaran (dalam alam rumah tangga) kami ialah terpaksa berjauhan. Saya di Bukit Jalil dan isteri di Ipoh.
"Rutin saya setiap Jumaat ialah pulang ke Ipoh jadi saya dedikasikan emas ini untuk keluarga kami," katanya.