Lennart Jasch daripada pasukan Tudor Pro Cycling Team muncul juara Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 selepas menamatkan perlumbaan dari Taiping ke puncak Gunung Jerai sejauh 145.6 kilometer dengan catatan masa 3:37:21.
Pelumba dari Jerman itu menamatkan perlumbaan di hadapan Abel Balderstone Roumens daripada pasukan Caja Rural–Seguros RGA yang menduduki tempat kedua, manakala Jan Castellon Ribalta, juga daripada pasukan Caja Rural–Seguros RGA melengkapkan podium di tempat ketiga.
Laluan berprofil pendakian yang berakhir di puncak Gunung Jerai itu menjadi ujian utama buat pelumba, khususnya dalam menentukan keupayaan mereka mengharungi pendakian dan mengekalkan momentum sehingga ke garisan penamat.
Sepanjang laluan sejauh 145.6 kilometer itu, pelumba turut berdepan dua zon pendakian, termasuk pendakian Kategori 4 di Selama sebelum menghadapi pendakian Kategori 1 ke Gunung Jerai. Tiga zon pecut turut menjadi medan perebutan mata sepanjang perlumbaan.
Perlumbaan yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pelumba, khususnya ketika ekspidisi pendakian Gunung Jerai bermula.
Lennart Jasch dan Abel Balderstone Roumens mula mengorak Langkah meningkatkan pecutan semasa pendakian, sekali gus membolehkan mereka mencipta kelebihan ke atas pencabar lain. Setibanya di 500 meter terakhir, Jasch berjaya memotong Abel dan langsung tidak menoleh ke belakang, lalu meninggalkan pesaing terdekatnya itu untuk menjuarai perlumbaan.
Peloton kini bakal meneruskan saingan ke Peringkat Ketiga dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar sejauh 189.7 kilometer pada Selasa, dengan pelumba dijangka kembali berdepan cabaran berbeza selepas mengharungi pendakian Gunung Jerai.