Selangor memperoleh tiga mata berharga apabila mengelak kebangkitan Sabah untuk mencatatkan kemenangan 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi.
Kemenangan itu turut melonjakkan mereka ke tangga teratas liga dengan tiga mata di atas Johor Darul Ta'zim (JDT), yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Dalam perlawanan itu, The Red Giants memperoleh jaringan pembukaan seawal minit keenam apabila Vitor Pernambuco melepaskan rembatan kaki kiri leret yang tepat menuju ke penjuru kiri bawah gawang Juan Flere.
Selangor kemudian menambah jaringan pada minit ke-53, kali ini menerusi gol Hugo Boumous, yang bergandingan cantik dengan Kay Tejan di depan gawang tuan rumah.
Pelawat bagaimanapun berada dalam keadaan tertekan apabila Sabah bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol dalam tempoh sembilan minit, bermula dengan jaringan Gonzalo di Renzo pada minit ke-62 dan disusuli penyudah Fayyadh Zulkifli pada minit ke-71.
Kelegaan kem tuan rumah kemudian hanya bertahan selama dua minit, di mana Quentin Cheng kembali meletakkan Selangor di depan, sekali lagi hasil bantuan gemilang Kay Tejan.
Alif Izwan Yuslan kemudian melengkapkan kemenangan itu dengan satu lagi jaringan pada penghujung permainan.