Parah Negeri Sembilan musim ini berterusan apabila mereka kecundang 1-3 di Bandar Seri Begawan di tangan DPMM sebentar tadi.
Kebangkitan di babak pertama untuk mengikat lawan langsung tidak berbaloi apabila kesilapan di masa tambahan kecederaan memakan diri untuk skuad Jang tewas kali ketiga di Liga Super.
Hanya 11 minit diperlukan DPMM untuk menembusi gawang skuad Jang yang masih memburu kemenangan kedua liga musim ini.
Kesilapan penjaga gol membawa padah buat anak buah Danial Gimenez yang menduduki tempat kelapan carta selepas lima aksi setakat ini.
Namun, menuju ke masa rehat Luqman Hakim Shamsudin berjaya menyamakan kedudukan buat pelawat untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1.
DPMM kembali di aksi babak kedua dengan beberapa pertukaran yang ternyata membawa hasil kerana di lewat permainan -- salah seorang pemain gantian tersebut Dalberto, berjaya memastikan DPMM di depan sekali lagi sebelum Oscar Santis memuktamadkan kemenangan keempat tuan rumah di liga, dan yang ketiga berturut-turut untuk keputusan akhir 3-1.