Skip to main content

Bola Sepak

Liga Piala Menteri KPM: SSN Perak hadiahkan kekalahan kepada SSN Terengganu

j

Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak memulakan kempen Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) B-14 2026 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SSN Terengganu dalam aksi pembukaan di Sekolah Menengah Gunung Rapat, Ipoh,  hari ini.

Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit ke-13 menerusi tandukan pertahanan, J. Nittish, yang bijak menyempurnakan sepakan penjuru diambil Syafiq Zidane Zaidi.

Advertisement

Selepas ketinggalan, SSN Terengganu memperkemaskan corak permainan dalam babak kedua dengan beberapa peluang terhidang, namun gagal menghasilkan sebarang gol untuk jaringan awal itu sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung sengit.

“Kemenangan ini satu permulaan yang baik dan menjadi motivasi kepada pasukan.

"Pemain mengikut perancangan yang telah disusun dan ini penting untuk meningkatkan keyakinan mereka bagi perlawanan seterusnya.

"Sasaran kami musim ini adalah untuk memperbaiki kedudukan tahun lalu dan layak ke suku akhir," kata jurulatih SSN Perak, Afiq Amsyar Ahmad Salamat.

Menurut jurulatih SSN Terengganu, Wan Muhd Faris Wan Muhd Zukri pula: "Babak pertama kami sedikit bergelut dari segi keyakinan, mungkin pemain agak gementar.

"Namun, dalam separuh masa kedua, corak permainan kami lebih baik dan kami mencipta beberapa peluang.

"Malangnya, penyudah tidak menyebelahi kami.

"Walaupun tewas, saya tetap berpuas hati dengan usaha pemain dan kami akan terus memburu slot ke suku akhir.”
 

Must Watch Video