Skip to main content

Bola Sepak

Liga A1 Semi-Pro: Venood kongsi rahsia kekal cergas pada usia 38 tahun

d

Jiwa kapten yang tidak pernah padam jadi pemangkin kemenangan Bunga Raya apabila S. Venood bangkit daripada kesilapan untuk memastikan tiga mata berharga, petang semalam.

Dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Venood mengakui statusnya sebagai pemain berpengalaman menuntut dirinya menunjukkan teladan yang baik kepada rakan sepasukan.

Advertisement

Kelibat Venood selaku bekas jeneral tengah Selangor mencuri tumpuan dalam aksi di Stadium Mini Persada Plus.

Meskipun gagal menyempurnakan sepakan penalti, Venood tidak membiarkan kecewaan menguasai diri, sebaliknya jadikan detik itu sebagai motivasi untuk terus memimpin pasukan hingga wisel penamat.

Hasilnya, dia meledak gol kedua pada lewat permainan bagi mengesahkan kemenangan 2-0 Bunga Raya, selepas Emanuel Samson memecah kebuntuan pada minit ke-66.

Lebih manis, jaringan itu hadir sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-38 hari ini, menjadikannya hadiah istimewa buat diri dan pasukan.

"Sebagai pemain senior, saya tidak boleh berputus asa.

"Sebaik gagal dalam sepakan penalti, saya tetap berusaha untuk membantu pasukan.

"Satu sahaja saya boleh cakap, jaga tidur, jaga makan dan jaga disiplin," katanya.

Jurulatih Bunga Raya, Ishak Kunju, turut memuji ketenangan dan karakter kaptennya yang tidak mudah luntur semangat meskipun terlepas peluang keemasan.

"Venood sudah beberapa kali berjaya dalam sepakan penalti sebelum ini.

'Ini gol pertama saya dalam permainan terbuka," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Seoul Phoenix, Ariff Hashim, tetap beri pujian kepada anak buahnya yang beraksi tanpa skuad lengkap.

Dibarisi empat pemain sahaja di bangku simpanan, kelab dari Korea Selatan ini merekodkan kekalahan ke-15 dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.

"Saya hanya memiliki sekitar 15 pemain.

"Ada beberapa pemain yang belum sampai dari Korea Selatan, mereka sedang cuti semester," katanya pula. 

Topik Berkaitan

Must Watch Video