Menjelang Larian Menara Kuala Lumpur, Muhammad Adam Amjad antara bakat besar yang dikenal pasti juara dunia merangkap jaguh negara, Soh Wai Ching, yang turut miliki sesuatu istimewa.
Biarpun baru berusia 14 tahun, namun Adam sudah mencatat masa 7 minit 41 saat di Larian Menara The Top Penang, dengan perbezaan hanya seminit berbanding Wai Ching.
Dengan usianya yang masih muda, Wai Ching percaya atlet kelahiran Kelantan itu ini memiliki masa depan cerah untuk mewakili negara dengan pendedahan teknik yang tepat.
"Kami berpeluang berlatih bersama hari ini.
"Saya tetapkan satu rentak larian yang agak mencabar dan dia mampu mengikutinya.
"Untuk dia menjadi juara dunia, mungkin memerlukan masa empat tahun dari sekarang sebab umurnya yang masih muda.
"Lagipun dia masih belajar jadi sukar untuk dia mengembara ke serata dunia.
"Tapi saya sedia bantunya untuk sertai kejohanan di serata dunia," katanya.
Dalam kejohanan di Pulau Pinang, Adam mendapat tempat kedua, mengekori jaguh larian menara kebangsaan, Wai Ching yang mencatatkan masa 6 minit 39 saat.
"Saya sentiasa memasang impian untuk memintasnya.
"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
"Lokasi latihan saya adalah Program Perumahan Rakyat (PPR) setinggi 24 tingkat yang diulang setidak-tidaknya enam kali," katanya pula.