Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah, sebaliknya mempertaruhkan lapan atlet terbaik negara dalam misi memburu gelaran juara apabila World Bowls Series (WBS) Finals 2026 membuka tirainya di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, dari 2 hingga 4 Disember ini.
Kejohanan bertaraf platinum itu bakal menghimpunkan 24 pemain terbaik dunia, terdiri daripada 12 lelaki dan 12 wanita mewakili 10 negara, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur medan pertembungan elit bagi menentukan juara WBS Finals serta kedudukan No. 1 dunia pada penghujung musim 2026.
Malaysia muncul negara dengan wakil paling ramai, iaitu lapan pemain, diketuai jaguh wanita negara, Emma Firyana Saroji yang kini menduduki ranking No. 1 WBS wanita.
Emma hadir dengan reputasi besar selepas menjuarai acara perseorangan wanita pada edisi sulung Piala Dunia di Stadium Juara, November tahun lalu.
Cabaran negara turut diperkuatkan oleh Izzat Shameer Dzulkeple, Mohammad Soufi Rusli dan Aleena Ahmad Nawawi, yang masing-masing pernah meraih pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Izzat membawa pulang perak perseorangan lelaki, Soufi meraih gangsa acara pairs lelaki, manakala Aleena menyumbang perak dalam acara pairs wanita.
Tiga lagi wakil Malaysia akan melengkapkan senarai lapan atlet negara yang bakal berentap dengan barisan pemain terbaik dunia.
Antara nama besar yang menjadi tumpuan ialah pemain No. 1 dunia lelaki dari Scotland, lain McLean, yang menikmati musim cemerlang selepas menjuarai World Bowls Indoor Championship, World Bowls Champion of Champions serta gelaran kebangsaan Scotland bagi acara dalam dan luar dewan.
Saingan turut menyaksikan kehadiran lapan pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026, termasuk Gary Kelly dari Ireland, Sam Tolchard dan Jamie Walker dari England, serta Alison Merrien dari Guernsey.
Kejohanan edisi kedua ini merupakan kemuncak kalendar WBS 2026 yang menyaksikan penganjuran 44 kejohanan global, termasuk Sukan Komanwel Glasgow 2026, World Bowls Indoor Championship dan World Bowls Champion of Champions.
Seramai 24 pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing menempatkan enam pemain bagi kategori lelaki dan wanita sebelum saingan diteruskan ke peringkat kalah mati.
Mereka bukan sahaja memburu gelaran juara, malah turut merebut sebahagian daripada keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah AUD30,000.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (Bowls Malaysia), Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah satu pengiktirafan terhadap kemampuan negara menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan, World Bowls, AFFIN Bank Berhad selaku penaja serta semua rakan strategik yang menyokong penganjuran berkenaan.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari pada 1 Disember, jam 4.30 petang di Stadium Juara.
Acara itu turut diserikan dengan perlawanan pertunjukan antara Malaysia dan pasukan Rest of the World yang dibarisi Cheryl Chan dari Hong Kong, Aiden Takarua dari New Zealand, Shauna O’Neill dari Ireland dan Sam Tolchard dari England.
Malaysia pula akan menurunkan Izzat Shameer Dzulkeple, Nurul Alyani Jamil dan Emma Firyana Saroji, dengan Fairul Izwan Abd Muin bertindak selaku jurulatih.