Di saat nama Petrus Shitembi menjadi rebutan beberapa pasukan, Kuching City jelas tidak mahu kehilangan ‘dancing shoes’ mereka itu.
The Cats kini sedang berusaha memastikan tonggak import dari Namibia itu terus kekal bersama pasukan mereka bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia, Piala Shopee dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.
Kehadiran Shitembi pastinya menjadikan Kuching City pasukan lebih digeruni setelah menandatangani Safawi Rasid, Nazmi Faiz, Ajdin Mujagic, Dylan Wenzel-Halls dan Gabriel Peres.
"Apa yang boleh kongsikan di sini, masih dalam proses lagi, Insya-Allah dalam 80 peratus, Petrus Shitembi akan kekal bersama Kuching," kata CEO Kuching City, Iswandi Ali Hassan, kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Nazmi Faiz, Gabriel Peres dan Safawi merupakan nama besar jadi harapan kami adalah mereka dapat membantu kelab, terutama untuk menghadapi ACL2 dan Shopee Cup.
"Kerana pengalaman yang dimiliki mereka, termasuk beberapa pemain baru ini, pernah bermain dalam ACL2."
Iswandi turut mengesahkan Kuching City masih aktif di pasaran perpindahan dengan dua hingga tiga lagi pemain dijangka menyertai pasukan itu bagi melengkapkan senarai penuh skuad mereka.
Langkah itu dilihat penting bagi memastikan pasukan itu memiliki kekuatan yang mencukupi untuk menghadapi jadual padat, yang bukan sahaja melibatkan saingan domestik, malah penampilan sulung mereka di pentas Asia.