Dari tenis ke pickleball, penglibatan pemain daripada latar belakang sukan lain menjadi antara tarikan Kidsnergy Pickleball Social Serve, sekali gus membuktikan sukan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Menurut pengasas bersama Kidsnergy, Wong Kang Woon, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di PLAYA Racquet Club, Subang itu sememangnya menawarkan saingan kompetitif kepada peserta.
"Walaupun pickleball sukan baru, kita sememangnya memiliki ramai pemain sukan raket," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Di sini ada ramai pemain tenis yang bagus, termasuk juara kebangsaan bawah 10 tahun, yang mengambil bahagian dalam pickleball.
"Kami harap anak muda semua dapat bersukan dan mencuba apa sahaja sukan yang mereka rasa mereka minat."
Selain menjadi platform untuk memperkasa penglibatan kanak-kanak dalam sukan, kejohanan itu turut membawa misi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan komuniti keluarga.
Pada masa sama, peserta berpeluang membawa pulang ganjaran wang tunai berjumlah lebih RM10,000 menerusi lima kategori yang dipertandingkan.