Hampir 500 peserta berusia 4 hingga 12 tahun, termasuk ibu bapa hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam bagi memeriahkan larian sejauh 2.4 kilometer dengan suasana santai menjelang waktu berbuka puasa.
Bilangan penyertaan yang melebihi jangkaan menjadi faktor penting buat perancangan jangka masa panjang penganjur, Kidslympics, dalam usaha menjadikan ia sebagai acara tahunan dengan skala lebih besar.
Advertisement
"Ini tahun pertama larian sebegini diadakan.
"Walaupun pada Ramadan tapi ia tidak menghalang kita untuk bersukan," kata Pengasas Bersama Kidslympics, Goh Liu Ying, yang merupakan bekas jaguh beregu campuran kebangsaan.
Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Pulse dan Rakan Penganjur, AB Rahim Md Junoh: "Kami mahukan mengadakan trek larian yang lebih mencabar selain mahu menjadikan Putrajaya lebih dikenali."
Rata-rata peserta kanak-kanak cenderung untuk menyertai acara ini kerana dapat meluangkan masa melakukan aktiviti sihat bersama rakan-rakan, selain boleh membantu penambahan markah dalam pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum sekolah.
"Saya sangat gembira dapat berlari di samping rakan-rakan," kata seorang peserta.
Tambah lagi seorang peserta cilik: "Aktiviti ini menyihatkan badan selain kami dapat elak menatap gadjet dalam tempoh lama."