Bekas pemain negara, Ismail Saman, menegaskan Lee Zii Jia kini berada pada landasan terbaik untuk terus mencipta sensasi bagi menghuni ranking dunia yang lebih tinggi.
Menurutnya, pemain tersebut kini berada dalam motivasi terbaik dan lebih mempercayai diri untuk menewaskan lawan.
Advertisement
Mengikut penelitiannya, prestasi Zii Jia turut menunjukkan peningkatan sejak pulih daripada kecederaan ketika beraksi dalam Piala Thomas.
Bagaimanapun, demi konsistensi prestasi jangka panjang, dia berasakan Zii Jia perlu menambah latihan daripada segi kelajuan, ketahanan, permainan rali dan pukulan merbahaya supaya dapat menandingi kehebatan ditunjukkan perseorangan dari Perancis dan China yang sudah lengkap di segenap segi.
"Daripada segi tahap persembahan setakat ini, keyakinannya tampak sudah kembali dan itu yang rakyat Malaysia harapkan.
"Banyak kerja rumah perlu dilakukan daripada segi kepantasan, stamina ketahanan dan pukulan -- permainan pemain-pemain dari Perancis membabitkan 30 pukulan.
"Itulah latihan untuknya mengekalkan konsisten permainannya.
"Dia harus boleh bermain rali yang panjang untuk menandingi pemain dunia yang lain," katanya di Nadi Arena.