Skip to main content

Bola Sepak

Kes Timor Leste: Pasport 9 pemain ditarik semula

Timor Leste

Rayuan dikekalkan tapi dapat sedikit diskaun. Apakah nasib tujuh pemain Harimau Malaya?

Keputusan rayuan melibatkan tujuh pemain Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya menemui titik akhir apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan untuk melonggarkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain berkenaan, namun pada masa sama mengekalkan denda sekitar RM1.8 juta yang perlu dibayar oleh badan induk itu ekoran pemalsuan dokumen.

Advertisement

Facundo Garces, Gabriel Arrocha, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel perlu meneruskan penggantungan 12 bulan. Berbanding denda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini yang melarang daripada sebarang aktiviti bola sepak, kini mereka tetap boleh terlibat menjalani latihan dan bermain bersama kelab, namun tidak dibenarkan menyertai sebarang perlawanan rasmi seperti kempen liga, dan kejohanan domestik, perlawanan persahabatan di bawah kalendar FIFA serta pertandingan rasmi seperti kelayakan mahupun kejohanan asal.

Sehubungan itu, tumpuan kini terarah kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menentukan kedudukan FAM dan skuad kebangsaan, sementara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengetahui tindakan lanjut melibatkan empat pemain yang beraksi bersama kelab tempatan.

Seiring dengan desakan peminat meminta pihak berwajib untuk segera menarik semula kerakyatan tujuh pemain terbabit, selain mengetahui punca kepada penipuan tersebut.

Menyingkap kembali insiden sama sekitar 9 tahun lalu pada 2017 di mana Timor Leste turut memalsukan sijil kelahiran sembilan pemain warisan dari Brazil dengan mendakwa ibu bapa lahir di Timor Leste.

Daripada 29 perlawanan dibatalkan dan pihak lawan diberi kemenangan percuma, pegawai terlibat iaitu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo Sarmento, digantung selama tiga tahun daripada segala aktiviti bola sepak kerana terlibat dengan proses pendokumentasian itu.

Timor Leste juga menerusi kerajaannya telah mengambil langkah drastik untuk membatalkan pasport sembilan pemain itu dan mengharamkan nama mereka daripada memasuki negara itu berkuat kuasa serta merta.

Para pemain dilarang sama sekali daripada didaftarkan dalam mana-mana pertandingan bola sepak pada masa hadapan sebagai warganegara Timor Leste. Kebanyakan pemain kembali ke kelab asal mereka atau mencari peluang baharu di luar Timor Leste. 

Kemudian, AFC mengeluarkan Timor Leste daripada kempen Piala Asia 2017 termasuk dilarang menyertai kelayakan 2023. 

Berkemungkinan, impak sama bakal menimpa skuad kendalian Peter Cklamovski berikutan kegagalan mencabar keputusan FIFA.

Must Watch Video