Skip to main content

Bola Sepak

Kereta mewah Toyota Vellfire pemain kebangsaan disita

Kereta mewah Toyota Vellfire pemain kebangsaan disita

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire dipercayai milik seorang pemain bola sepak kebangsaan kerana cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

Pengarah JPJ negeri, Stien Van Lutam berkata, kenderaan itu ditahan dalam Ops Luxury yang dijalankan di hadapan Penjara Alor Setar di Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini kira-kira pukul 11.30 pagi Khamis lalu.

“Semasa ditahan MPV berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan abang ipar kepada pemain bola sepak terbabit.

“Pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) MPV itu telah tamat tempoh pada 18 November tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Pemandu itu memaklumkan dia tidak mengetahui cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Menurut beliau, operasi khas itu dijalankan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya tanpa mengira status atau latar belakang.

Katanya, JPJ Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa dipatuhi.-Awani

Related Topics

Must Watch Video