Pemain sayap lincah Liverpool, Federico Chiesa, kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas dua tahun menyepi, tepat pada masanya menjelang aksi penentuan (play-off) Piala Dunia menentang Ireland Utara di Bergamo, 27 Mac nanti.
Kali terakhir pemain berusia 28 tahun itu beraksi di pentas antarabangsa adalah ketika pertembungan pusingan 16 terbaik Euro 2024 menentang Switzerland.
Advertisement
Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso, menyenaraikan 28 pemain bagi aksi penting itu dengan pemenang bakal berdepan sama ada Wales atau Bosnia-Herzegovina empat hari kemudian bagi merebut slot ke pusingan akhir ke Piala Dunia FIFA tahun ini.
Sebagai juara dunia empat kali, Itali kini memikul tekanan besar untuk kembali ke pentas tertinggi bola sepak dunia itu selepas gagal melayakkan diri dalam dua edisi terdahulu.
Kehadiran semula Chiesa dilihat mampu menambah sengat di bahagian serangan Azzurri menerusi kelajuan serta keupayaannya mencipta peluang dalam kawasan berbahaya lawan.
Bagaimanapun, penjaga gol Tottenham Hotspur, Guglielmo Vicario, tidak disenaraikan dalam skuad kali ini kerana terpaksa menjalani pembedahan minggu hadapan.
Dalam perkembangan lain, pertahanan Cagliari Calcio, Marco Palestra, turut menerima panggilan sulung dalam skuad senior.
Pemain tengah AS Roma, Niccolo Pisilli, serta pertahanan Atalanta, Giorgio Scalvini, juga kembali disenaraikan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, ketua jurulatih Ireland Utara, Michael O'Neill, dilihat telah mengumumkan barisan pemainnya lebih awal dengan pertahanan Sunderland, Dan Ballard, tetap dipanggil meskipun berdepan masalah kecederaan hamstring.
Pertembungan getir ini menjadi medan penentuan buat kedua-dua pasukan yang menburu tempat ke temasya bola sepak terbesar dunia itu.