Pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski, tampil merungkai ketiadaan Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco setelah kedua-duanya dicanang sebagai rekrut baharu Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi negara.
Harapan peminat tempatan untuk melihat tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City itu tidak kesampaian ketika Cklamovski mengeluarkan senarai pemain bagi kem latihan persiapan ke Ninh Binh, Vietnam, untuk pertemuan Kumpulan F Piala Asia 2027, Rabu depan.
Advertisement
"Saya tidak pasti dengan proses pendaftaran mereka setakat mana dan ketika ini mereka tidak sempat untuk didaftarkan.
"Jadi saya beranggapan (khidmat) mereka tidak dapat digunakan untuk kem kali ini.
"Mereka amat teruja untuk mewakili pasukan kebangsaan dan mungkin dalam aksi seterusnya mereka akan terlibat," katanya di Nadi Arena hari ini.
Malah, dalam temu bual hari ini, ketua jurulatih Harimau Malaya itu turut menjawab persoalan ramai peminat mengenai sebab utama Nacho Mendez tidak disenaraikan hingga kini walaupun perancang tengah Harimau Selatan itu beraksi sebagai pemain tempatan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
"Nacho Mendez diulit kecederan tetapi bukan serius.
"Kami berharap dia akan cepat sembuh di kelabnya dan tengoklah bagaimana keadaan pada masa akan datang pula," katanya lagi.