Skuad Harimau Malaya memiliki keupayaan untuk menghadirkan cabaran sengit kepada Vietnam dalam pertemuan kedua-dua pasukan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh, esok.
Bekas pertahanan negara, Asmawi Bakiri, percaya rata-rata pemain yang dipanggil kali ini memiliki kualiti untuk bersaing terutama daripada segi disiplin dan organisasi ketika bertahan.
Advertisement
Meskipun skuad kebangsaan kembali dengan barisan sedia ada tanpa kelibat tujuh pemain termasuk pemain baharu naturalisasi seperti yang dicanang sebelum ini iaitu Bergson Da Silva dan Giancarlo Gallifuoco.
"Pada saya posisi pemain di jentera serangan itu merupakan pemain dengan status penjaring serta memberikan bantuan jaringan. Itu penting untuk mengimbangkan tekanan berdepan Vietnam.
"Di jentera tengah dan pertahanan cukup kuat, daripada empat gol ketika menang lawan Vietnam (Jun Lalu), dua pemain ada dalam skuad tolak tujuh pemain yang tiada.
"Mengharapkan taktikal serta serta set piece berlaku atau cara melambatkan gerakan serangan Vietnam, itu perlu dilakukan.
"Dengan pemain yang sedia ada seperti Faisal Halim, Ramadhan, Safawi Rasid, Paulo Josue dan Luqman Hakim ini saya rasa sukar tetapi ada harapan. Jentera tengah tidak perlu perubahan banyak. Saya rasa tiada isu siapa yang akan diturunkan, cuma perlu buat penyusunan.
"Saya harapkan sesuatu daripada Peter (Cklamovski) kali ini, jika sebelum ini ada pemain berkualiti tetapi sekarang ini ada pemain sedia ada sebelum kehadiran tujuh pemain itu, kita telah memiliki pemain sedia ada ini yang boleh beri cabaran. Apa cara sekali pun, perlu meraih kemenangan," katanya.
Sementara itu, bekas penjaga gol negara, Azmin Azram aAbdul Aziz, beranggapan pemilihan venue di Stadium Thien Truong sebagai medan perlawanan merupakan muslihat daripada tuan rumah.
Bekas jurulatih Cong An Ha Noi itu tampak berasakan ketetapan itu sengaja dilakukan memandangkan penggempur utama skuad Naga Emas, Nguyen Xuan Son, sudah serasi beraksi di venue itu.
"Untuk Xuan Son, dia sudah selesai kerana padang itu laman sendiri yang dia selalu beraksi. Dia akan rasa selesa.
"Saya tidak rasa itu tugasan berat, pemain kita seperti Dion Cools berpengalaman dan beraksi di Liga Jepun, dia boleh terima tekanan dan atsmosfera ini.
"Dia sudah rasa tahap lebih tinggi daripada apa yang akan dia beraksi dalam aksi akan datang ini." tambahnya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
