Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Sembilan (NsSDeaf) merayu pertimbangan dan sokongan kewangan daripada Kerajaan Negeri Sembilan bagi memastikan Kejohanan Sukan Orienteering Orang Pekak Malaysia Kali Ke-2 dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 12 hingga 14 November 2026 di Taman Tasik Seremban.
Presidennya, Sharul Anuar Bin Mamat, memaklumkan bahawa pihak persatuan masih berusaha mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM50,000 daripada anggaran keseluruhan penganjuran RM62,325 bagi menampung keperluan kejohanan yang dijangka melibatkan seramai 112 peserta dan pegawai.
Menurut beliau, kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu, memperkasakan atlet pekak dan membuka peluang kepada mereka untuk mewakili Negeri Sembilan serta Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.
“Kami amat berharap agar Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya YAB Menteri Besar dan YB EXCO yang bertanggungjawab terhadap portfolio sukan, dapat memberikan perhatian serta mempertimbangkan bantuan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi memastikan kejohanan ini dapat diteruskan seperti yang dirancang.
“Atlet pekak juga mempunyai impian, bakat dan semangat juang yang tinggi. Mereka hanya memerlukan peluang serta sokongan yang sewajarnya untuk membuktikan kemampuan dalam arena sukan,” katanya.
Sharul Anuar turut menjelaskan bahawa tempoh penganjuran yang semakin hampir menuntut komitmen kewangan segera bagi memastikan penyediaan pengangkutan, makanan, keselamatan, kemudahan pertandingan dan kebajikan peserta dapat diuruskan dengan baik.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan sukan orang pekak harus dilihat sebagai sebahagian daripada agenda inklusiviti negeri dan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan atlet berpotensi.
“Kami tidak mahu kekangan kewangan menjadi penghalang kepada atlet pekak untuk menyertai kejohanan peringkat kebangsaan. Kami percaya bahawa dengan sokongan kerajaan negeri, usaha membangunkan sukan orang pekak dapat diteruskan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Harapan kami agar suara dan aspirasi komuniti sukan orang pekak Negeri Sembilan mendapat perhatian sewajarnya. Sokongan yang diberikan bukan sahaja membantu menjayakan sebuah kejohanan, malah membawa makna besar kepada masa depan atlet pekak negara,” tambah beliau.
Dalam masa sama, NsSDeaf turut membuka ruang kerjasama dan penajaan kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta individu yang ingin menyumbang kepada pembangunan sukan komuniti orang pekak.
Penganjuran kejohanan ini turut mendapat kerjasama Persatuan Sukan Orienteering Negeri Sembilan, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) serta badan-badan sukan berkaitan.
“Kami berharap kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menjadi bukti bahawa atlet pekak juga berhak menikmati peluang pembangunan sukan yang sama rata,” katanya.