Skip to main content

Pickleball

Kejohanan Dunia Pickleball 2026 buka tirai di Pulau Pinang

Kejohanan Dunia Pickleball 2026 buka tirai di Pulau Pinang

Selepas sekian lama tertumpu di Lembah Klang, sukan pickleball kini semakin berkembang pesat ke seluruh negara apabila World Pickleball Championship 2026 (WPC 2026) memulakan jelajahnya merentasi Malaysia.

Siri pembuka tirai akan berlangsung di Pulau Pinang pada 16 April ini, sebelum kejohanan beralih ke Kuala Lumpur pada Julai dan seterusnya ke Johor Bahru pada Oktober.

Advertisement

Venue utama di utara tanah air, Pickle by the Sea, yang merupakan gelanggang pickleball terbesar di wilayah itu, bakal menjadi pentas aksi pembukaan yang dijangka meriah dengan penyertaan pemain tempatan dan antarabangsa.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, melaungkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan negeri itu sebagai tuan rumah.

“Inilah masanya buat Penang,” katanya ketika merasmikan WPC Penang 2026, sambil menegaskan penganjuran ini selari dengan misi menjadikan Pulau Pinang sebagai hab sukan utama menjelang Sukan SEA 2027.

Dia turut menyifatkan kejohanan ini sebagai hasil usaha kolektif pelbagai pihak dalam memperjuangkan pembangunan pickleball di negeri berkenaan, selain menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

Sementara itu, pengasas Global Pickleball, Jan David Papi, menyambut baik pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi siri pertama, menyifatkannya sebagai langkah mengujakan buat komuniti pickleball global.

Menurutnya, status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan terkenal memberi nilai tambah kepada kejohanan ini, sekali gus membantu mempromosikan pelancongan sukan di Malaysia.

Malah, penganjuran WPC 2026 turut signifikan memandangkan ramai pemain pickleball negara berasal dari Pulau Mutiara, menjadikan negeri itu antara pusat perkembangan utama sukan berkenaan di Malaysia.

Topik Berkaitan

Must Watch Video