Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong perkembangan ekosistem e-sukan negara, termasuk saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang semakin mendapat perhatian.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata sokongan itu penting bagi memastikan pembangunan e-sukan tempatan terus berkembang secara mampan, khususnya ketika Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL Malaysia) melalui fasa peralihan kepada model francais.
Perubahan model berkenaan turut membuka ruang kepada penglibatan penaja antarabangsa, sekali gus meningkatkan potensi pertumbuhan industri e-sukan negara.
Walaupun berdepan perubahan struktur pertandingan, KBS masih memperuntukkan dana melebihi RM500,000 bagi menyokong pembangunan berterusan arena berkenaan.
Mordi berkata e-sukan bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya mampu menjadi platform yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Di MPL Malaysia, kami melihat bagaimana e-sukan menyatukan rakyat Malaysia, merentasi kaum, latar belakang, dan generasi. Inilah yang menjadikan e-sukan lebih daripada sekadar satu pertandingan. Ia mempunyai kuasa untuk menyatukan komuniti, memberi inspirasi kepada golongan muda, serta mewujudkan peluang yang bermakna bagi generasi akan datang,” katanya.
Dia turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh ekosistem e-sukan, termasuk menyediakan laluan pembangunan yang lebih tersusun kepada bakat muda.
Malah, KBS bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneroka peluang untuk memperkenalkan e-sukan di sekolah, sekali gus membuka ruang kepada pelajar mengembangkan kemahiran serta minat mereka dalam bidang berkenaan.
“Kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk menyokong pertumbuhan ekosistem e-sukan Malaysia. Bersama-sama Kementerian Pendidikan (KPM), kami juga sedang meneroka cara untuk memperkenalkan e-sukan di sekolah, sekali gus menyediakan laluan yang lebih tersusun bagi bakat-bakat muda untuk mengembangkan kemahiran serta mengejar minat mereka dalam dunia permainan,” katanya.
Komitmen itu dilihat penting bagi memastikan perkembangan MLBB dan e-sukan Malaysia bukan hanya tertumpu kepada kejohanan kompetitif, malah merangkumi pembangunan bakat, peluang kerjaya serta pembentukan ekosistem yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.