Saingan ini bakal memasuki musim kelima pada tahun 2026 dijangka berlangsung pada April, tentunya peminat sukan ini dah tak sabar menantikan aksi-aksi menarik pemain kegemaran mereka.
Sepanjang empat musim lalu, liga ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan elit, malah medan pembelajaran buat pasukan-pasukan yang sering menghuni kelompok atasan agar kekal relevan, konsisten dan kompetitif dalam jangka panjang.
Advertisement
Antara pasukan yang mencuri tumpuan menjelang musim baharu ini ialah Johor Jewels, yang dilihat tampil lebih garang dengan pendekatan dan barisan pemain yang diperkuat menerusi perkongsian di Instagram. Kehadiran pemain import berprofil tinggi, Gretel Bueta, dijangka memberi dimensi baharu kepada corak permainan pasukan itu, sekali gus meningkatkan tahap persaingan liga secara keseluruhan.
Gretel Bueta bukan nama asing dalam arena bola jaring antarabangsa. Pemain Australia itu memiliki latar belakang yang kukuh dengan pengalaman luas di peringkat elit, sekali gus dijangka memberi beban tugasan besar kepada pertahanan pihak lawan kelak.
Dari sudut taktikal, cabaran utama adalah menyesuaikan gaya permainan berintensiti tinggi, pantas dan berasaskan fizikal yang dibawa oleh Bueta. Dengan ketinggian dan keupayaan membaca permainan, gabungannya bersama pemain handalan tempatan seperti Fariha Razak, Syafazliana dan Ann Najwa berpotensi membentuk satu kombinasi yang menarik serta berbahaya, khususnya di kawasan serangan.
Johor Jewels turut berdepan perubahan di bahagian kejurulatihan apabila Tracey Robinson dilaporkan tidak lagi bersama pasukan. Fokus kini tertumpu kepada calon pengganti, dengan khabar angin menyebut tiga negara utama sebagai pilihan iaitu Australia, New Zealand atau Sri Lanka. Jadi, anda dah bersedia dengan perubahan ketara Jewels tahun ini?