Itali dan Piala Dunia adalah perkara yang cukup sinonim — bersesuaian dengan status Itali yang pernah menggondol 4 gelaran Piala Dunia. Namun sejak edisi 2018 di Rusia, nama Gli Azzurri seakan hilang daripada radar! Sebuah situasi yang cukup gering lebih-lebih lagi buat sebuah negara yang dilabel sebagai 'THE BIG FOUR OF EUROPE'! Dan di kala rata-rata negara sudahpun bersorak gembira mengesahkan tempat ke Amerika Utara jun ini — Itali masih berdiam durja!
Namun peluang untuk ke Piala Dunia 2026 masih lagi terbuka buat mereka apabila miliki tugas berat, ibarat mendaki gunung tertinggi dunia - Gunung Everest!
Advertisement
Itali dijadual berdepan Bosnia & Hezergovina pada rabu dalam satu lagi perebutan slot penting bagi melengkapkan 16 pasukan Eropah yang bakal beraksi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pertengahan tahun ini.
Bagi pengendali pasukan bangsawan dunia itu, Gennaro Gattuso, peluang masih tersisa buat mereka namun ianya cukup berat dan perlu diambil serius oleh setiap individu yang bakal menyarung jersi kebangsaan dalam aksi play-off di Stadium Bilino Polje, Zenica.
Sedar Bosnia juga tidak akan mengambil enteng aksi terakhir ini - Gattuso mahu Itali teruskan konsistensi positif sejak pengendali ini ambil alih Gli Azzuri sejak jun 2025.
Untuk rekod, Itali mencatat 6 kemenangan dalam 7 aksi sejak berada di bawah kendalian Gattuso - satu statistik cukup ampuh, namun ianya bukan tiket mudah untuk menidakkan cabaran Bosnia yang turut miliki rekod mengagumkan sejak diambil alih oleh Sergej Barbarez.
Slot penting yang bakal menentukan maruah Itali - sama ada terus dirundum malang atau permulaan baharu sejak edisi 2014!