Kem latihan empat hari Harimau Malaya di Thailand tampak bersifat misteri apabila pengendali skuad negara, Peter Cklamovski, tidak menolak kemungkinan mengadakan satu perlawanan persahabatan secara tertutup menjelang aksi terakhir kelayakan Piala Asia menentang Vietnam minggu depan.
Cklamovski mengesahkan skuad negara akan berpangkalan di gelanggang rasmi BG Pathum United di Pathum Thani, sekali gus menjadikan kelab Liga 1 Thailand itu sebagai antara calon lawan ujian buat pasukannya.
Advertisement
Selain The Rabbits, skuad kebangsaan Thailand turut berpotensi menjadi pencabar dalam aksi tertutup itu kerana difahamkan skuad Gajah Perang juga merancang satu perlawanan rahsia sebagai persiapan terakhir menjelang aksi kelayakan menentang Turkmenistan.
"Keputusan ini (mengadakan kem latihan di Pathum Thani) sudah dibuat sejak tiga bulan lalu," kata Cklamovski kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Ketika itu, tiada tempat yang sesuai di sini, jadi ia satu keputusan yang bijak, juga daripada perspektif bajet.
"Mengambil kira keadaan padang, kemudahan dengan standard yang kami mahukan ke depan ini, ia akan memberikan kami peluang yang baik untuk gigih berlatih bersama sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan yang sukar ini.
"Mungkin kami akan mengadakan satu perlawanan tertutup. Kami pernah melakukannya sebelum ini dengan mengadakan latihan dan kemudian perlawanan ujian secara tertutup, di mana kami boleh memberikan minit permainan dan menguji sedikit taktikal, melihat apa yang Vietnam mungkin lakukan di atas padang, juga melihat dan mengawal intensiti pemain untuk ke tahap tertinggi.
"Itu kebaikan yang boleh didapatkan daripada perlawanan seperti itu."