Bukan aksi di atas padang yang menjadi bualan hangat penyokong sepanjang Piala Dunia 2026, sebaliknya harga makanan di stadium yang disifatkan terlalu mahal sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.
Terbaharu, harga sejenis snek kentang dan keju yang dijual pada aksi membabitkan Perancis dan Iraq menjadi tular selepas seorang penyokong berkongsi resit pembeliannya.
Snek yang dinamakan Loaded Potato Bites itu dijual pada harga ASD14.99 (kira-kira RM64), sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Di platform X, ramai menyifatkan harga tersebut sebagai keterlaluan.
“Walaupun mengikut standard Amerika, harga itu memang mengerikan,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi pula bergurau dengan mengatakan lebih baik makan sebelum memasuki stadium kerana harga makanan di dalam venue terlalu tinggi.
Isu harga makanan sebenarnya bukan perkara baharu sepanjang Piala Dunia 2026.
Sebelum ini, harga minuman dan makanan di beberapa stadium di Amerika Syarikat turut mencetuskan kontroversi apabila segelas bir dijual sekitar ASD17 hingga ASD19 (RM72 hingga RM81), manakala pretzel mencecah ASD13.49 (RM58). Malah, terdapat menu premium seperti kentang goreng bersama kaviar yang dijual sehingga ASD75 (lebih RM320).
Walaupun ramai menganggap harga tersebut biasa bagi acara sukan di Amerika Utara seperti NFL, penyokong dari Eropah, Asia dan Amerika Selatan mengakui mereka terkejut kerana kos makanan di stadium jauh lebih tinggi berbanding di negara masing-masing.
Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebelum ini turut menerima kritikan berhubung harga tiket, penginapan dan kos pengangkutan yang tinggi.
Kini, harga makanan di stadium pula menjadi satu lagi isu hangat yang mengiringi temasya bola sepak terbesar dunia itu, dengan ramai penyokong berharap penganjur dapat menawarkan harga yang lebih berpatutan pada baki kejohanan.