Hari ini merupakan hari termanis buat skuad kuadran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akhirnya berjaya melunaskan dendam di atas dua kekalahan tahun ini.
UPM yang muncul juara dalam sirkit 1 itu kecundang di tangan Politeknik Malaysia dalam final sirkit 2 selain tewas di peringkat suku akhir SUKIPT, namun aksi di kejohanan VSL kali ini membawa cerita berbeza.
Meskipun UPM berhadapan lawan sama yang sering menafikan kemampuan UPM tahun ini, kemenangan straight set 2-0 akhirnya meletakkan UPM sebagai juara kejohanan.
Pengharapan ini disuarakan pemain kuadran UPM, Muhammad Adam Haikal Muhamad Khalid, sehari sebelum kejohanan dan siapa sangka ia menjadi cerita gembira buat kuadran UPM hari ini.
"Apa yang saya harapkan semalam hari ini menjadi kenyataan, yang membezakan adalah kami sebagai satu pasukan mempunyai mentaliti berbeza berbanding sebelum ini.
"Hubungan kami, sokongan rakan-rakan, ia membantu kami meningkatkan semangat dalam gelanggang.
"Perasaan rasa puas kerana bermula dengan SUKIPT kami teruskan latihan setiap hari, apa yang kami dapat hari ini umpama satu kepuasaan apabila kejayaan hadir buat pasukan kami." katanya.