Pemain gantian, William Osula meledak gol kemenangan dramatik pada penghujung perlawanan untuk memastikan 10 pemain Newcastle United menumbangkan pasukan di prestasi terbaik, Manchester United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Michael Carrick yang menggalas tugas sebagai pengurus sementara (interim) kelab berkenaan.
Advertisement
Walaupun terpaksa beraksi sepanjang separuh masa kedua dengan kekurangan seorang pemain, Newcastle cemerlang mengejutkan skuad pelawat yang menduduki tangga ketiga liga itu menerusi gol solo menakjubkan Osula tepat sebelum wisel penamat ditiupkan.
Kekalahan tersebut menyaksikan The Red Devils kini ketinggalan sembilan mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester City yang sekadar diikat 2-2 di laman sendiri menentang kelab bergelut, Nottingham Forest dan masih kekal berkongsi 51 mata bersama Aston Villa.
Terdahulu, rentak perlawanan berubah dalam 10 minit masa kecederaan babak pertama.
Insiden bermula apabila Jacob Ramsey dilayangkan kad kuning kedua dan dibuang padang pada minit ke-45+1 selepas pengadil mendakwanya sengaja berlakon merebahkan badan.
Lima minit berselang, Anthony Gordon berjaya memenangi sepakan penalti selepas insiden pertembungan dengan kapten United, Bruno Fernandes.
Gordon tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Newcastle 1-0 di hadapan, mencatatkan rekod jaringan penalti kesembilan berturut-turutnya tanpa gagal setakat musim ini.
Full-time at St James' Park.
— Manchester United (@ManUtd) March 4, 2026
Bagaimanapun, sebelum wisel separuh masa dibunyikan, Fernandes menebus kesilapannya menerusi hantaran sepakan percuma yang disudahkan dengan tandukan kemas Casemiro untuk gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Namun, meskipun memiliki kelebihan jumlah pemain, skuad bimbingan Carrick bergelut untuk mempamerkan taring mereka pada babak kedua.
Malah pada satu ketika, pelawat lebih kelihatan seperti pasukan yang beraksi dengan 10 pemain tatkala skuad The Magpies terus agresif mengasak memburu gol kemenangan. -- Sinar Harian