Bekas pertahanan Malaysia, Asmawi Bakiri, menyifatkan kualiti yang dimiliki tonggak pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco, mampu memberi impak positif kepada kekuatan Harimau Malaya secara keseluruhan.
Ujarnya, kelebihan fizikal serta pengalaman yang ada dalam GG pastinya akan menjadi aset penting skuad negara selain beri pilihan tambahan kepada ketua jurulatih terutama di posisi pertahanan.
Terdahulu menerusi laporan Nadi Weekend, GG memaklumkan proses naturalisasinya kini sudah berada di fasa akhir dan dia teruja untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
"Apabila jurulatih KL City, Datuk Dollah Salleh, meletakkannya di bahagian atas, GG mampu menghasilkan jaringan atau bantuan gol.
"Ini pakej yang lengkap sebagai seorang pemain yang pada asalnya dari pertahanan.
"Dia akan menambah nilai untuk skuad negara yang rata-rata pemainnya telah menunjukkan prestasi terbaik.
"GG antara pemain yang memiliki jiwa sebagai pemain yang baik.
"Saya harap jika urusan dokumentasinya selesai, dia dapat berikan persembahan di peringkat antarabangsa," katanya.