Dominasi Mondo Duplantis dalam acara lompat bergalah akhirnya menemui pencabar yang mampu memberikan tekanan sebenar apabila Emmanouil Karalis mula berani mencabar juara Olimpik dan dunia itu secara berdepan.
Duplantis selama ini seolah-olah beraksi dalam dunianya sendiri apabila memenangi pertandingan sebelum menjadikan percubaan memecahkan rekod dunia sebagai acara tambahan.
Namun, situasi itu mungkin mula berubah selepas aksi Diamond League Zurich, Khamis lalu.
Buat kali pertama dalam satu pertandingan, Duplantis dan Karalis sama-sama mencuba rekod dunia, sekali gus mencetuskan persaingan yang jauh lebih sengit berbanding kebiasaan.
Ketika Duplantis mendahului dengan lompatan 6.15 meter (m), Karalis membalas dengan catatan terbaik peribadi 6.20m pada percubaan pertama.
Duplantis kemudian melepasi 6.25m sebelum Karalis menaikkan palang kepada 6.32m, satu sentimeter lebih tinggi daripada rekod dunia yang dicipta atlet Sweden itu Mac lalu.
Walaupun gagal mencatat rekod baharu, Karalis hampir melakukannya menerusi percubaan kedua, manakala Duplantis sendiri menyangka dia berjaya melepasi 6.32m pada percubaan terakhir sebelum palang jatuh ketika dia mendarat.
“Jarang dua orang mencabar rekod dunia dalam pertandingan yang sama. Itu memang luar biasa,” kata Karalis.
Atlet Greece itu sebelum ini sudah memberi petanda bahawa dia mampu menggugat Duplantis apabila mencatat 6.17m pada Kejohanan Dalam Dewan Greece, Februari lalu.
Lompatan itu menjadikannya atlet kedua dalam sejarah yang mempunyai catatan tertinggi selepas Duplantis, sekali gus mengatasi legenda seperti Sergey Bubka dan Renaud Lavillenie.
Karalis kemudian mencuba dua kali untuk melepasi 6.31m tetapi gagal.
Kini, atlet berusia 26 tahun itu dilihat sebagai pencabar paling realistik terhadap Duplantis, terutama selepas keberaniannya mencabar rekod dunia secara terbuka di Zurich.
Duplantis dan Karalis sudah bertemu sebanyak 50 kali sejak peringkat remaja, dengan atlet Sweden itu mendahului 49-1 dalam rekod pertemuan mereka.
Namun, jurang itu semakin mengecil apabila Karalis akhirnya mencapai tahap 6.00m, walaupun dia mengambil masa enam tahun lebih lama berbanding Duplantis untuk mencapai ketinggian tersebut.
Duplantis sendiri mengakui kemunculan Karalis menjadikan persaingan lompat bergalah semakin menarik.
“Saya rasa akan ada bunga api. Lompatannya sangat hebat ketika ini, jadi saya perlu berada pada tahap terbaik.
“Untuk menang sekarang mungkin memerlukan 6.20m atau lebih. Itulah tahap persaingan ketika ini dan ia sangat menyeronokkan,” kata Duplantis.
Dengan dua pertandingan besar berbaki pada penghujung musim, termasuk final Diamond League di Brussels dan World Athletics Ultimate Championships di Budapest, perhatian kini terarah kepada satu persoalan:
Adakah Karalis akhirnya mampu menamatkan dominasi Duplantis yang sudah berlangsung sekian lama?