Malaysian Football League (MFL) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan kes tujuh pemain warisan yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin.
Menurut kenyataan MFL, pemakluman tersebut menyatakan bahawa tujuh pemain berkenaan kekal dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun hukuman itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Advertisement
Susulan keputusan itu, empat pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia tidak dibenarkan beraksi sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.
Tiga daripada mereka merupakan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu João Figueiredo, Jon Irazabal* dan Héctor Hevel, manakala seorang lagi ialah pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.
Ini bermakna keempat-empat pemain tersebut tidak boleh beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan, walaupun mereka masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
Keputusan ini dijangka memberi kesan kepada perancangan pasukan yang terlibat, terutama Johor Darul Ta’zim yang kehilangan beberapa tonggak utama dalam kempen domestik dan antarabangsa musim ini.