Bekas Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Tan Sri Darshan Singh Gill semalam menerima Anugerah Presiden ACC 2026, satu anugerah tertinggi daripada badan induk tersebut.
Anugerah Presiden ACC 2026 tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden ACC, Datuk Amarjit Singh Gill pada Kongress ACC ke-33 yang diadakan di sebuah hotel ternama di Riyadh, Arab Saudi.
Advertisement
Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient turut menyaksikan majlis anugerah tersebut dimana sejumlah 29 negara (NF) menghadiri Kongres ACC ke-33 .
Amarjit yang juga Naib Presiden UCI menjelaskan Darshan menjadi penerima anugerah kali pertama berdasarkan khidmat bakti yang diberikannya kepada sukan berbasikal di peringkat Dunia, Asia, rantau Asia Tenggara dan di Malaysia sendiri sejak 1976 iaitu 50 tahun
Sebagai rekod, Darshan ialah pengasas ACC apabila ia ditubuhkan pada 31 Mac 1993 di Ipoh, Malaysia.
"Selama 8 tahun menjadi Presiden ACC, Tan Sri Darshan terlalu banyak menabur bakti dan sangat berjasa kepada sukan berbasikal Asia. ACC juga diasas dan ditubuhkan oleh Tan Sri Darshan Singh. Oleh itu, hari ini ACC memberikan penghormatan istimewa kepada Tan Sri Darshan Singh," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
"Saya juga sangat berbesar hati kerana Presiden UCI yang juga Ahli IOC berada di sini untuk menyaksikan majlis penganugerahan Anugerah Presiden ACC kepada Tan Sri Darshan Singh," katanya.
Seorang lagi penerima Anugerah Presiden ACC 2026 ialah bekas Presiden ACC, Osama Al-Shafar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Darshan ialah bekas Presiden ACC daripada 1996 sehingga 2005 yang juga telah menduduki sebagai Ahli Lembaga Pengurusan UCI dari 1996 hingga 2005. Beliau adalah salah seorang daripada 3 penerima anugerah Merit UCI.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad juga antara penerima anugerah Merit UCI.
Kongres ACC ke-33 turut memberikan Merit ACC kepada bekas Setiausaha Agung ACC dari India, Onkar Singh, juara dunia dari Hong Kong, Sarah Lee Wai Sze dan bekas Atlet Olimpik Berbasikal Mansoor Bousaiba dari UAE
Sementara itu, Darshan meluahkan rasa gembira dan terharu kerana menerima anugerah tertingggi daripada ACC.
"Sebenarnya saya tidak pernah berhenti daripada berkhidmat untuk sukan berbasikal. Saya sentiasa berusaha dan berbakti untuk sukan berbasikal di seluruh Asia dan Malaysia" katanya.