Cuaca panas terik di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) menambahkan lagi bahang persaingan pada pusingan kedua MAM Malaysian Cub Prix 2026 yang berlangsung penuh dramatik hari ini.
Berbeza dengan keadaan litar basah akibat hujan pada hari sebelumnya, perubahan cuaca kali ini memaksa setiap pelumba menyesuaikan diri dengan pantas terhadap permukaan litar yang jauh lebih mencabar.
Keadaan itu sekali gus menjadikan perlumbaan sukar diramal dengan beberapa kategori utama menyaksikan aksi sengit hingga ke garisan penamat.
Dalam saingan utama CP150, Md Haziq Md Fairues muncul juara selepas mengharungi perlumbaan penuh drama termasuk insiden kemalangan membabitkan kelompok pendahulu.
Perlumbaan memuncak pada saat akhir apabila juara pusingan pertama, Azroy Hakeem Anuar terlibat dalam kemalangan yang membuka ruang buat Haziq memecut meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Iqbal Amri Abdul Malek untuk meraih kemenangan tipis.
Bagi Haziq, kemenangan itu cukup bermakna selepas empat tahun menanti untuk kembali berdiri di podium tertinggi.
Malah, beliau turut mengimbau pelbagai detik sukar yang pernah dihadapinya sehingga hampir mematahkan semangat untuk terus bersaing dalam arena perlumbaan motosikal kompetitif.
“Kemenangan ini sangat emosional untuk saya. Banyak perkara saya lalui sebelum dapat kembali menang dan saya hampir berputus asa satu ketika dahulu,” katanya.
Sementara itu, kategori CP125 pula menyaksikan penguasaan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing apabila Md Syamil Amsyar M Iffende berjaya merampas gelaran juara pusingan kedua hasil strategi berpasukan yang efektif sepanjang perlumbaan.
Syamil bersama rakan sepasukannya, Md Farid Hakimi menguasai kelompok hadapan sejak awal perlumbaan sebelum menamatkan aksi di dua kedudukan teratas.
Menurut Syamil, kemenangan tersebut menjadi suntikan keyakinan terbaik menjelang aksi seterusnya di Litar Lumba Jempol yang dianggap antara litar kegemarannya.
“Saya harap dapat terus kekalkan momentum ini di Jempol nanti kerana saya cukup selesa berlumba di sana,” katanya.
Dalam kategori WIRA KBS pula, pasukan MBI Selangor Motto Roy XLA mencuri tumpuan apabila dua pelumbanya berjaya menaiki podium.
Md Afiq Syazanie Muhd Zaini tampil cemerlang untuk muncul juara manakala rakan sepasukannya, Md Ali Imran menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Kejayaan itu dianggap cukup bermakna buat pasukan yang baru memasuki musim kedua dalam saingan Cub Prix.
Menurut Afiq, perubahan dari segi tetapan jentera dan strategi perlumbaan menjadi faktor utama kebangkitannya selepas hanya menamatkan aksi pembukaan musim di kedudukan kelapan di Litar Lumba Tangkak.
“Kami banyak ubah set up motosikal kali ini dan hasilnya memang sangat positif. Saya gembira dapat hadiahkan kemenangan buat pasukan,” katanya.
Pusingan kedua kali ini jelas membuktikan saingan Cub Prix musim 2026 semakin kompetitif dengan setiap kategori menawarkan persaingan sengit serta sukar dijangka.