Peter Cklamovski dan pasukan kejurulatihannya sudah tidak relevan, kata pemerhati bola sepak negara, Zakaria Rahim, yang ingin melihat ketua jurulatih negara itu bersama dengan barisannya meletak jawatan sebaik tugasan akhir skuad negara bertemu Vietnam dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia selesai hujung bulan ini.
Ini termasuk kelibat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia NT, Rob Friend, yang dilihat sudah tidak diperlukan.
Advertisement
"Pada saya mereka sudah tidak relevan kerana keberadaan mereka dalam Malaysia NT adalah daripada bajet RM15 juta yang diterima pasukan kebangsaan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Bajet itu sudah tidak akan ditambah walaupun pada awalnya dijanjikan oleh kerajaan sebanyak RM30 juta secara total. Saya tidak yakin bajet itu akan diteruskan selepas ini.
"Tambahan pula, sudah tidak ada lagi kejohanan besar akan berlaku sehingga ke kelayakan Piala Dunia yang akan datang.
"Kalau setakat Piala ASEAN, kita tidak perlukan satu pasukan kejurulatihan yang mahal sebegitu. Cukup dengan jurulatih yang boleh membentuk semula pasukan negara dan mengutamakan pemain tempatan.
"Jadi saya rasa mereka perlu meninggalkan pasukan kebangsaan secara sukarela tanpa dipecat. Jika tidak, kita akan buat tuntutan untuk mereka meletakkan jawatan."
Tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan sebaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan hukuman pemotongan enam mata dalam pusingan kelayakan Piala Asia, yang sekali gus menafikan kemampuan Malaysia untuk beraksi di Arab Saudi tahun depan.
Mahkamah-mahkamah antarabangsa sudah mengesahkan berlaku salah laku dalam isu tujuh pemain tidak sah Malaysia, dalam erti kata yang jelas, Malaysia bersalah melakukan pemalsuan dokumen pemain terlibat.
Bagi Zakaria, apa yang perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini adalah sedar dengan kesilapan yang berlaku, bukan terus menegakkan benang yang basah sekiranya mereka berhasrat untuk meneruskan rayuan.
"Bagi saya, jika FAM ada hasrat untuk membawa kes ini ke peringkat rayuan, itu hak mereka tetapi sudah-sudahlah, kita 'move-on'.
"Kita perlu bangkitan semula mutu bola sepak Malaysia dan pasukan kebangsaan.
"Apa yang berlaku sekarang, secara keseluruhannya bola sepak Malaysia sudah kehilangan kepercayaan, baik daripada penyokong bola sepak Malaysia, rakyat Malaysia, bahkan peminat bola sepak di seluruh rantau ASEAN dan Asia, dan mungkin seluruh dunia juga tahu mengenai isu ini.
"Adalah lebih baik untuk kita perbaiki dan bangkit membentuk pasukan yang lebih baik dan FAM perlu memiliki satu pasukan kejurulatihan yang benar-benar mahu berkhidmat buat negara," tambahnya.