Perak Bison menjuarai saingan selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers dalam aksi final yang sengit, manakala Kelantan Warriors mencuri tumpuan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tempat ketiga selepas menundukkan Kedah Eagles.
Dalam perlawanan akhir, Perak Bison mempertaruhkan Pornthep Tinbangbon sebagai tekong utama, Amirul Zazwan selaku feeder dan Nazrien Daniel sebagai killer.
Negeri Sembilan Antlers pula menurunkan gandingan Haziq Nizam sebagai tekong, Zulefendi Sumari selaku feeder dan Hafizul Hayazi sebagai killer.
Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 6-6.
Persaingan semakin memuncak apabila Antlers terus memberikan tentangan meskipun Bison beberapa kali mendahului. Kedua-dua pasukan sekali lagi terikat 14-14 sebelum set berkenaan dibawa ke deuce.
Namun, Perak Bison mempamerkan ketenangan pada saat genting untuk memenangi set pertama 17-14.
Memasuki set kedua, Antlers sekali lagi memberikan saingan apabila berjaya menyamakan kedudukan 6-6 selepas Bison memulakan set dengan kelebihan.
Bagaimanapun, momentum itu tidak bertahan lama apabila Bison kembali menguasai permainan dengan mendahului 9-6 sebelum menamatkan set kedua 15-9 untuk mengesahkan kejuaraan.
Sementara itu, Kelantan Warriors menampilkan kebangkitan mengagumkan untuk meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kedah Eagles dalam aksi penentuan.
Warriors bermula perlahan pada set pertama apabila ketinggalan 5-13, sebelum Eagles menoktahkan set itu dengan kemenangan 15-8.
Memasuki set kedua, cabaran Warriors semakin getir apabila mereka ketinggalan dengan jurang sembilan mata, sekali gus meletakkan Eagles di ambang kemenangan.
Namun, ketika peluang dilihat semakin tipis, Warriors mula memperkemaskan permainan dan mengutip mata demi mata untuk merapatkan kedudukan.
Kebangkitan itu membuahkan hasil apabila Warriors menyamakan kedudukan 11-11 sebelum memenangi set kedua 15-12 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Dengan semangat baharu, Warriors memanfaatkan peluang sebaik mungkin pada set ketiga menerusi kombinasi Madlee Anda sebagai killer, Faisal Fuad selaku tekong dan Fikri Wajawwa sebagai feeder.
Libasan Faisal menjadi antara senjata utama yang menyukarkan Eagles mengawal permainan, sekali gus membantu Warriors menguasai set penentuan dengan kemenangan 15-8.
Kemenangan itu melengkapkan kebangkitan Kelantan Warriors yang pada awalnya berdepan kesukaran, sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga dengan penuh bergaya.