Johor Jewels terus mengekalkan status sebagai pendahulu Kumpulan B selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus mengesahkan slot ke pentas final bertemu juara Kumpulan A, Pahang Tulips.
Beraksi menentang pasukan tercorot, Perak Phoenix, Jewels jelas berada di kelas tersendiri dengan mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan.
Advertisement
Dipacu pemain kebangsaan Fariha Razak serta juara dunia 2019, Laura Langman, pasukan itu sukar digugat lawan.
Gabungan mantap bersama An Najwa Azizan dan Gretel Bueta membolehkan Johor Jewels menguasai tempo permainan sejak awal.
Namun, Perak Phoenix sempat merapatkan jurang pada penghujung babak pertama, termasuk memanfaatkan peluang menerusi super shot untuk menjadikan kedudukan lebih sengit.
Walaupun ditekan, Jewels kekal tenang dan menyusun semula permainan dengan lebih tersusun di separuh masa kedua.
Hasilnya, mereka kembali melebarkan jurang mata sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 36-21.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi reputasi Johor Jewels sebagai antara pasukan pilihan utama untuk muncul juara musim ini, dengan prestasi konsisten dan kekuatan skuad yang seimbang di setiap posisi.
Sementara itu, KL Wildcats berjaya memintas Terengganu Marvels dalam saingan Kumpulan B selepas meraih kemenangan penting, sekaligus naik ke tangga kedua.
Keputusan itu menyaksikan Wildcats yang sebelum ini berada di tempat ketiga, kini berjaya memotong Marvels yang terpaksa turun ke kedudukan ketiga.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Wildcats tampil lebih kemas dalam setiap gerakan.
Mereka turut bijak memanfaatkan peluang menerusi super shot untuk menambah mata pada saat-saat kritikal, sekaligus menjadi pembeza utama dalam perlawanan.
Seterusnya, Wildcats akan berdepan Kedah Sunshine dalam perlawanan klasifikasi tempat ketiga dan keempat.