Aksi minggu kedua Netball Super League Malaysia terus rancak dengan kebangkitan meyakinkan KL Wildcats yang menebus kekecewaan dengan kemenangan besar 62-29 ke atas Melaka Mystic.
Turun dengan misi bangkit selepas kekalahan mengejut kepada Terengganu Marvels, Wildcats pada awalnya berdepan tentangan sengit daripada Melaka yang saling kejar-mengejar mata.
Advertisement
Namun, kelebihan mula berpihak kepada juara bertahan itu apabila mereka memanfaatkan tempoh 'super shot' untuk membuka jurang pada suku pertama.
Momentum tersebut diteruskan dengan cemerlang oleh barisan pemain berpengalaman Wildcats termasuk Nassanga Shadiah dan Siti Aminah.
Kombinasi kemas di bahagian serangan serta disiplin pertahanan menyaksikan Wildcats semakin selesa mendominasi permainan.
Akhirnya, Wildcats menutup perlawanan dengan kemenangan bergaya 62-29 -- satu respons jelas terhadap kekalahan sebelum ini.
Kemenangan ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan KL Wildcats, malah memberi amaran kepada pencabar lain bahawa mereka masih pasukan yang perlu digeruni dalam saingan NSL musim ini.