Pada usia 22 tahun, Umar Osman memahat namanya dalam dewan kemahsyuran Olahraga Malaysia apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara 400m (meter) menerusi catatan 45.73s (saat) dalam Kejohanan Taipei Athletics Open 2026 baru-baru ini.
Lebih memukau lagi, Umar muncul pelari pertama dalam sejarah olahraga negara melakukan catatan dibawah 46 saat.
Lakaran sejarah itu dilakukan dalam saingan separuh akhir, sebelum atlet kelahiran Johor itu meraih pingat perak di pentas akhir.
Detik bersejarah itu tidak hadir 'begitu saja' sebaliknya daripada hasil penekanan sains sukan sepanjang berguru dibawah jurulatih baru, Jironi Riduan, yang menerapkan Program Latihan Enviromental & Hypoxic Chamber di iInstitut Sukan Negara (ISN).
Latihan itu mensimulasikan persekitaran altitud tinggi secara terkawal dan selamat, membantu meningkatkan kapasiti aerobik, kecekapan penggunaan oksigen dan daya tahan fizikal.
Kejayaan Umar menjadi contoh terbaik, prestasi optimum atlet dibina melalui sains, ketepatan dan persediaan yang betul.
Umar mula berguru dibawah Jironi bermula Februari tahun ini selepas sekian lama menuntut ilmu bersama Simon Lau.
"Metode latihan yang baru saya lakukan bersama jurulatih dan ISN adalah 'Hypoxic Chamber' dimana berlari di treadmill dan dihadkan oksigen sebanyak 13%, sangat membantu kerana sebelum ini pernah lagi saya berlatih begitu.
"Saya manfaatkan sesi latihan dan menjadi buat saya," katanya.
Sementara itu, keberangkatan Umar ke Terbuka Hong Kong diiringi 'semangat' dan aspirasi baru apabila menerima hadiah gelang tangan ikonik dari jurulatih jarak jauh dan sederhana negara, Mohamed Azarudeen Syed Ibrahim.
Gelang tangan yang hanya boleh didapati di kem latihan terkemuka dunia di Iten, Kenya itu menjadi simbolik jalinan persahabatan dan hormat yang diberikan terhadap umar selepas memperbaharui rekod 400 meter negara.
"Saya gembira dan terkejut mahu dapat gelang ini, saya rasa dihargai kerana baru kenal sudah dapat gelang ini. Dia mahu saya kekal fokus, dan akan pakai untuk kejohanan nanti." tambahnya.