Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Berita Sukan Am

Best of 2025: Ini antara 10 momen penting sepanjang tahun bermula 'Top 50'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Best of 2025: 50-41

Dunia sukan terus diwarnai dengan pelbagai momen besar yang mencuri perhatian peminat, daripada kejutan di gelanggang hingga kejayaan membanggakan di pentas Asia, serta insiden kontroversi yang mencetuskan perdebatan.

50- MALAYSIA JUARA KUADRAN PIALA ASIA 2025

Advertisement

Malaysia mencipta sejarah muncul juara acara kuadran selepas menewaskan Jepun pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa Mei lalu. Skuad negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim mempamerkan aksi hebat ditambah dengan sokongan padu penyokong yang hadir memenuhi venue pertandingan.

49- KHABIB NURMAGOMEDOV BUKA JOHOR KHABIB GYM

Legenda MMA, Khabib Nurmagomedov, mencuri tumpuan apabila membuka Johor Khabib Gym, projek pembinaan Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC), yang dilihat bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi selari aspirasi membentuk generasi belia berdisiplin dan mewujudkan hab sukan moden bertaraf dunia.

48- INSIDEN PERGADUHAN PIALA FUTSAL MALAYSIA: KETUA JURULATIH DITUMBUK PEGAWAI SENDIRI

Piala Futsal Malaysia 2025 menghadirkan satu insiden yang cukup diingati yang melibatkan ketua jurulatih pasukan Sabah, Roger Filipe, yang ditumbuk oleh pegawai sendiri ketika aksi pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi penentuan tempat ketiga dan keempat. Seusai wisel penamat, Filipe yang dipercayai berang meluru ke dalam gelanggang dan cuba ditenangkan pegawai pasukan, namun beliau dipercayai bertindak menyiku pegawai terbabit. Tindakan itu mengundang tindak balas apabila jurulatih kelahiran Portugal itu ditumbuk sehingga terbaring di atas gelanggang.

47- SAMBUTAN MOTO GP MALAYSIA TETAP HANGAT

Penganjuran MotoGP Malaysia tetap mendapatkan sambutan yang tinggi bagi tahun 2025. Walaupun tanpa kehadiran juara dunia, Marc Marquez, kehadiran penontong ke Litar Antarabangsa Sepang bagi merasai pengalaman deruman jentera dua roda itu tetap menjadi pilihan!

46- BELANGSUNGKAWA HULK HOGAN MENINGGAL DUNIA

Legenda gusti dunia, Hulk Hogan, dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun. Hogan, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, disahkan meninggal dunia berpunca daripada 'serangan jantung'.

45- SELANGOR PECAT KATSUHITO KINOSHI

Pengendali Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi mendapat kejutan apabila menjadi jurulatih Liga Super pertama yang 'direhatkan' bagi pada permulaan musim 2025-2026. 'The Red Giants' membuat keputusan itu hanya tiga hari selepas pasukan itu meraih kemenangan 4-2 ke atas Tampines Rovers bagi aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

44- OOI KEN VIN & ZOE TAN RAIH EMAS B21 DANCE ASIAN CHAMPIONSHIP

Malaysia pula terus melakar detik manis apabila Ooi Ken Vin dan Zoe Tan meraih pingat emas acara B21 Dance di Kejohanan Asia, membuktikan bakat negara tidak ketandusan bakat dalam sukan tarian kompetitif.

43- JOHN CENA BERSARA

Tanggal 13 Disember menjadi satu tarikh yang diingati buat setiap peminat WWE yang menjadi pentas terakhir John Cena membuat penampilan terakhir. Selepas 24 tahun, Cena akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada WWE.

42- MANCHESTER UNITED DATANG MALAYSIA LAWAN ASEAN ALL STAR

Kehadiran Manchester United ke Malaysia untuk menentang ASEAN All Star mencetuskan demam bola sepak luar biasa. Perlawanan ini bukan sekadar aksi persahabatan, malah menjadi medan kebanggaan rantau ASEAN menentang gergasi Eropah. Bagaimanapun, peminat gergasi England itu bagaimanapun meratapi kekalahan 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus menjadi penutup musim 2024-25 yang penuh dengan kekecewaan.

41 - JAKE PAUL AKHIRNYA TUMBANG KEPADA PETINJU SEBENAR

Antara tumpuan utama ialah kejatuhan youtuber sensasi, Jake Paul, yang akhirnya tewas di tangan seorang petinju sebenar, Anthony Joshua. Selepas menggelar dirinya mampu sebaris dengan petinju profesional sebelum termasuk menewaskan legenda seperti Mike Tyson, kekalahan ini dianggap simbolik, menandakan perbezaan jelas antara bintang media sosial dan petinju tulen yang teruji di gelanggang profesional.

Keseluruhannya, rangkaian momen ini menggambarkan landskap sukan dan hiburan yang penuh warna — ada kejayaan membanggakan, ada kehilangan besar, dan ada juga kontroversi yang mengundang pengajaran. Inilah denyut nadi dunia sukan: sentiasa hidup, emosional dan tidak pernah sunyi daripada cerita.

Teruskan bersama Stadium Astro bagi mengikuti perkongsian Best of 2025!

Must Watch Video