Penggempur berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva, membuktikan kehadiran muka baharu bukan ancaman buat dirinya apabila meledakkan satu gol biarpun diturunkan sebagai pemain gantian ketika mengikat pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, 3-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam tadi.
Calon pemain naturalisasi negara itu kini berdepan persaingan sengit dengan penyerang baharu dari Iran, Shahab Zahedi, selepas dicabar hebat oleh Jairo da Silva musim lalu.
"Saya amat bangga dengan pasukan ini kerana ia bukan tentang keputusan perlawanan, menang atau kalah, ia tentang perwatakan kami," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya rasa kami tidak pernah lelah untuk memberikan kejutan kepada orang ramai tentang apa yang kami boleh lakukan ke atas pasukan lebih besar, tidak kira di laman sendiri atau laman lawan.
"Pada akhirnya, apa yang diingati ialah perwatakan kami di atas padang.
"Tentang persaingan, ia bukan sesuatu yang baru. Anda telah mengenali saya selama enam musim dan setiap musim JDT sentiasa meningkat dan bergerak ke depan.
"Sebagai pasukan besar, sudah pasti anda akan membawa masuk penyerang baharu, pertahanan tengah baharu atau penyerang tengah baharu, jadi ia bukan sesuatu yang baru.
"Ia persaingan sihat sesama kami dan saya sentiasa akan memberikan yang terbaik untuk merebut tempat saya dan mendapatkan momen terbaik untuk membantu rakan sepasukan."