Skip to main content

Berita Sukan Am

Bekas penyerang Kelantan FA didakwa culik pemilik kedai emas

Bekas penyerang Kelantan FA didakwa culik pemilik kedai emas

Bekas penyerang Kelantan FA bersama seorang rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan melarikan seorang pemilik kedai emas dalam kejadian di Kampung Palekbang, Tumpat tahun lalu.

Cik Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Advertisement

Kedua-dua tertuduh didakwa melarikan Marzuki Mustapha, 44, secara paksa dengan niat untuk mengurung mangsa secara salah dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi di tepi jalan Kampung Palekbang pada 20 Mei tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh atas alasan kesalahan yang serius, namun pihak pembelaan memohon jumlah lebih rendah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 setiap seorang dengan seorang tertuduh diwakili peguam, manakala seorang lagi tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan sedang mengesan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas lelaki berusia 44 tahun di Palekbang, Tumpat pada 20 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, kesemua suspek dipercayai masih bersembunyi di dalam negeri dan usaha memburu mereka dipertingkatkan.

Topik Berkaitan

Must Watch Video