Skip to main content

Bola Jaring

Bagaimana NSL ubah landskap bola jaring negara?

NSL

Siapa sangka sukan bola jaring, yang pada satu ketika menjadi rungutan warganya dek kerana kurangnya tumpuan yang diberikan, kini berubah 180 darjah menjadi antara sukan yang mendapat perhatian paling besar dalam negara.

Satu ketika dahulu, amat sukar untuk melihat satu kejohanan bola jaring peringkat kebangsaan disiarkan secara 'layaknya' di layar kaca Malaysia tetapi kini, siaran langsung sukan itu menjadi antara yang mendapat tontonan tertinggi peminat sukan negara.

Bagaimana nasib itu berubah? Ia bermula dengan penganjuran kali pertama Netball Super League (NSL) hasil usaha sama Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dan Astro Arena pada 2020.

Setelah sekian lama menanti, bola jaring akhirnya memiliki liga profesional yang selayaknya dimiliki sebuah negara dengan status gergasi di rantau Asia Tenggara.

Dalam tempoh enam tahun, NSL berkembang menjadi antara komponen sukan wanita paling pesat membangun di Malaysia, menjadikan sukan itu lebih profesional dan berdaya maju daripada segi komersial.

Didorong oleh peningkatan penonton di televisyen, lonjakan penglibatan digital dan keyakinan penaja yang semakin berkembang, menjadikan liga berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan standard permainan di atas gelanggang, bahkan mengubah persepsi terhadap sukan wanita di Malaysia.

Selain itu, siaran langsung berkualiti tinggi dan persekitaran persaingan yang lebih profesional memperkukuhkan lagi daya tarikannya dalam kalangan peminat dan penaja.

Lebih daripada sekadar kejohanan domestik yang membantu melahirkan bakat baharu, NSL kini dianggap sebagai laluan ke arah profesional dan kerjaya jangka panjang buat pemain terlibat.

Edisi terbaharu, yang melabuhkan tirainya bulan lalu, menyaksikan perseteruan luar biasa di antara dua pasukan pilihan, Terengganu Marvels dan Johor Jewels.

Marvels menjulang kejuaraan liga, manakala Jewels pula dinobatkan juara pertama NSL Regional Cup selepas tiga percubaan menumbangkan Marvels.

Kapten Jewels, Fariha Razak, mengakui penganjuran NSL telah menggerakkan sukan bola jaring ke arah yang lebih positif dengan peningkatan saingan dan penganjuran bertaraf dunia.

"Kalau nak cakap tentang momen terbaik saya sepanjang NSL 2026, sudah tentu kemenangan Johor Jewels dalam Regional Cup," katanya kepada Stadium Astro.

"Semua orang tahu betapa sukarnya perjalanan kami untuk membawa pulang trofi itu ke Johor, lebih-lebih lagi selepas kecewa dalam saingan liga tetapi apa yang paling saya banggakan ialah kami tidak pernah mengalah dan kami terus belajar, memperbaiki kelemahan dan percaya kepada proses yang dilalui bersama.

"Itulah yang menjadi kunci kejayaan kami dalam Regional Cup. Kekalahan sebelum ini membuatkan kami lebih dahaga untuk bangkit dan menebus kembali kekecewaan.

"Menjadi juara sulung Regional Cup menjadikan kemenangan itu lebih manis, apatah lagi dengan penyertaan pasukan antarabangsa yang memberi nilai lebih besar kepada kejohanan itu.

"Selain itu, saya rasa musim ini turut menampilkan kualiti permainan terbaik yang pernah kita lihat dalam NSL. Setiap perlawanan sangat kompetitif dan sukar dijangka kerana semua pasukan mempunyai kekuatan masing-masing.

"Kehadiran pemain import berkualiti dalam hampir setiap pasukan juga banyak membantu meningkatkan standard permainan, bukan sahaja kepada pasukan, malah kepada liga itu secara keseluruhan.

"Apabila semua faktor itu digabungkan, saya boleh katakan NSL 2026 adalah musim terbaik setakat ini.

"Saingan yang lebih sengit, standard yang lebih tinggi, 'vibe' yang dibawakan penyokong kali ini juga berbeza dan perkembangan yang ditunjukkan oleh semua pasukan membuktikan bahawa bola jaring Malaysia sedang bergerak ke arah yang sangat positif."

NSL juga memperkukuhkan fokusnya terhadap pembangunan akar umbi melalui inisiatif Klinik NSL, sebuah platform yang bertujuan untuk mengenal pasti dan mengasuh bakat muda bola jaring dari seluruh negara.

Dianjurkan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, klinik-klinik berkenaan melibatkan pelajar sekolah serta universiti dan memberi peluang kepada mereka untuk berlatih dalam persekitaran profesional bersama jurulatih kebangsaan dan pemain NSL.

Setiap sesi itu memberikan tumpuan terhadap pembangunan kemahiran teknikal, disiplin, keyakinan diri dan kerjasama berpasukan, di samping mendedahkan peserta kepada standard yang diharapkan pada tahap persaingan yang lebih tinggi.

Sebagai kesinambungan kepada program itu, Boot Camp Klinik NSL mula diperkenalkan tahun ini, dengan penglibatan 20 peserta terbaik yang dipilih daripada siri klinik berkenaan.

Kem latihan intensif dalam Boot Camp Klinik NSL menyediakan latihan yang mendalam dan pendedahan yang lebih dekat kepada persekitaran bola jaring profesional.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha PBJM dan Astro Arena untuk mewujudkan laluan yang lebih berstruktur daripada peringkat akar umbi dan belia ke persaingan elit, sekali gus membantu mengasuh lebih banyak bakat muda untuk sukan bola jaring Malaysia.

 

Anda mungkin berminat dengan

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

adidas Unisex X Speedportal Messi.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GW8387) Sport Planet 55-03

adidas Unisex X Speedportal Messi.1 FG Outdoor Boot Football Shoe (GW8387) Sport Planet 55-03

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

[Le Mai.com] NIKE Sports Bottle Squeeze Cold Water Bottle Big Mouth Bottle 2.0 22 OZ/650mL N000042

[Le Mai.com] NIKE Sports Bottle Squeeze Cold Water Bottle Big Mouth Bottle 2.0 22 OZ/650mL N000042

JDT Vneck Blood Abstract

JDT Vneck Blood Abstract

Must Watch Video