Misi balas dendam. Misi hidup mati. Peluang terakhir untuk layak ke pusingan seterusnya.
Johor Darul Ta'zim (JDT) akan melayani kunjungan gergasi Jepun, Vissel Kobe, sebagai perlawanan terakhir Kumpula A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.
Aksi tersebut merupakan peluang terakhir buat Harimau Selatan apabila wajib meraih kemenangan sekiranya ingin menempah slot ke peringkat kalah mati.
Untuk rekod, pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Vissel Kobe mencatatkan kemenangan besar 5-1 dengan bintang Sepanyol dan Barcelona, Andrés Iniesta, turut beraksi menewaskan JDT pada 2020.