JDT 1 VISSEL KOBE 0
Fokus, ketekalan dan semangat sepasukan menjadi kata kunci kepada kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) melunaskan misi wajib menang ke atas kelab Jepun, Vissel Kobe, dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sebentar tadi.
Advertisement
Stadium Sultan Ibrahim (SSI) -- tiket habis terjual -- menjadi saksi dua perangkap ofsaid yang bukan melemahkan, sebaliknya menaikkan semangat juang Harimau Selatan untuk kemenangan hasil gol tunggal daripada Marcos Guilherme.
Jika gol yang dijaringkan Nene tidak diperangkap ofsaid, JDT pastinya sudah pun berada di depan pada minit ke-39 dan bermakna anak buah Xisco Munoz boleh menarik nafas lega untuk ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Namun, tuan rumah terus menongkah laluan berliku dengan barisan yang diketuai Natxo Insa itu dengan melipatgandakan usaha mereka untuk menerobos gawang Vissel Kobe yang kali terakhir menjadi seteru pada 2020.
Apatah lagi apabila jaringan Guilherme pada minit ke-56 juga dibatalkan kerana ofsaid.
Baik Guilherme mahu pun 10 lagi tonggak Harimau Selatan di atas padang, ia tidak sedikit pun menunjukkan semangat yang pudar, bahkan serangan demi serangan terus dilancarkan dan hasilnya, satu gerakan dari tengah yang sampai kepada Jairo -- merampas bola daripada kawalan pertahanan lawan -- telah membuka ruang buat Guilherme untuk menyudahkan peluang keemasan pada minit ke-73 itu.
Dengan kelebihan yang dimiliki, JDT mula menukar strategi bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya di sebalik pelawat cuba mendapatkan jaringan penyamaan.
Malah, sebelum wisel penamat ditiupkan, tiang gol JDT sempat bergegar dalam satu situasi kelam-kabut di depan gol.
Kemenangan ini menyaksikan barisan kendalian Munoz menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik Kumpulan A, seterusnya menjamin tempat ke pusingan 16.