Ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe, tetap tidak memandang rendah kemampuan Johor Darul Ta'zim (JDT) meskipun pasukannya sudah mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Skibbe berhasrat untuk menghalang hajat Harimau Selatan tatkala wakil Malaysia itu berdepan misi hidup mati dengan wajib menang menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.
Advertisement
Gergasi Jepun itu bagaimanapun tetap mahu menurunkan pasukan terbaik walaupun hadir selaku pelawat.
"Mereka memiliki pemain berpengalaman yang datang dari Brazil mahupun Eropah.
"Kebanyakkanya dari Sepanyol. Mereka tahu cara bermain bola sepak dengan intensiti tinggi.
"Jadi, kami juga harus menunjukkan kekuatan sebenar kami.
"Ia adalah perlawanan sukar. Kami datang ke sini dengan jarak perjalanan jauh.
"Sudah tentu kami mahu memenang pertemuan ini.
"JDT mempunyai penyerang yang hebat. Situasi perebutan di udara dan juga pantas.
"Meskipun kami ketiadaan beberapa pemain ekoran penggantungan dan kecederaan, namun saya percaya dengan kemampuan kami menentang JDT," katanya dalam sidang media praperlawanan petang tadi.
Sejak 2019, JDT hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan bertemu kelab Jepun iaitu Kashima Antlers.
Untuk rekod, pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Vissel Kobe mencatatkan kemenangan besar 5-1 dengan bintang Sepanyol dan Barcelona, Andrés Iniesta, turut beraksi menewaskan JDT pada 2020.