Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta satu lagi detik bersejarah dalam sejarah kelab apabila berjaya melangkah ke pentas suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2.
Selepas melakar kemenangan 3-1 dalam aksi pertama, mereka bertandang ke Edion Peace Wing Hiroshima dengan harapan untuk memastikan mereka meneruskan cabaran ke suku akhir.
Advertisement
Bagaimanapun, mereka berdepan serangan demi serangan sepanjang perlawanan berdepan San Frecce.
Tuan rumah akhirnya berjaya mendapatkan gol pembukaan perlawanan menerusi sepakan penalti Kosuke Kinoshita lewat permainan namun ia sekadar bersifat saguhati apabila JDT memastikan kemenangan secara agregat 3-2 sekaligus melangkah ke suku akhir.
Format suku akhir ACLE dimainkan dengan melibatkan lapan pasukan terbaik, iaitu empat dari Zon Timur dan empat dari Zon Barat. Semua pasukan ini akan melalui undian terbuka, bermakna kelab dari Timur boleh bertemu kelab dari Barat tanpa sebarang had zon.
Perlawanan suku akhir dimainkan dalam satu perlawanan sahaja, bukan lagi secara timbal balik seperti sebelum ini. Pemenang perlawanan akan terus mara ke separuh akhir.
Selain itu, semua perlawanan bermula dari suku akhir hingga final diadakan di venue neutral, iaitu di Jeddah, Arab Saudi, dalam format kejohanan mini.