Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa, mengangkat semangat kekeluargaan sebagai nadi kekuatan Harimau Selatan bagi menghadapi ranjau berliku di bumi Jeddah malam ini.
Dengan juara bertahan, Al-Ahli, sebagai halangan utama, perancang tengah JDT itu kekal positif berbekalkan keistimewaan yang dimiliki pasukannya.
Advertisement
Pertama kali melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Harimau Selatan membawa bersama impian dan maruah dalam menentang pasukan yang lebih senior dan berkemampuan itu.
Al-Ahli hadir dengan segala kekuatan kewangan dan kilauan pemain bintang seperti Riyad Mahrez dan Ivan Toney, yang pernah menggegarkan pentas dunia.
"Apabila terdapat jangkaan yang besar buat negara ini, JDT perlu sentiasa melakukan yang lebih baik berbanding musim lalu," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Ia tidak mudah kerana tanggungjawabnya sentiasa besar tetapi kami akan melakukannya kerana mentaliti.
"Kami bukan hanya bermain untuk diri kami, pasukan kami bagaikan satu keluarga.
"Apa yang saya cuba katakan, apabila anda dapat melihatnya bukan sekadar perniagaan, anda dapat melihat kelab anda lebih daripada itu dan pemain kami melihat kelab ini sebagai satu keluarga.
"Kami akan berdepan pasukan yang lebih besar daripada segi sejarah atau ekonomi atau nama-nama pemain.
"Tetapi kami ada sesuatu yang mereka tidak ada, ia adalah kepercayaan kami sebagai satu keluarga.
"Saya rasa ia sesuatu yang bagus dalam memberikan kami kekuatan untuk menghadapi sebarang waktu sukar dan mencapai matlamat kami.