Sabah FC bakal berdepan dua ujian getir dalam tempoh seminggu apabila dijadualkan mengharungi dua aksi penting di tempat lawan.
Pertembungan ini dilihat bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental para pemain, malah menjadi penanda aras kepada era baharu pasukan di bawah kendalian jurulatih baharu, Juan Torres Garrido.
Advertisement
Cabaran pertama menanti dalam saingan MFL Challenge Cup apabila Sabah FC bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung menentang Perak FA pada Rabu ini.
Bermain di gelanggang lawan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah pasti menambah tekanan buat skuad The Rhinos dalam misi membawa bekalan selesa sebelum bermain di padang keramat mereka, Stadium Likas dalam perlawanan timbal balik.
Dalam perlawanan lain MFL Challenge Cup, Harimau Kumbang bakal bertandang ke Stadium Perbandaran Selayang menentang Kelantan TRW FC, esok.
Sabah FC tidak mempunyai banyak masa untuk berehat apabila sekali lagi perlu turun beraksi di tempat lawan pada 7 Mac, kali ini menentang Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super.
Perlawanan ini amat penting untuk memastikan kutipan mata diraih agar tidak tergolong dalam zon penyingkiraan.
Setakat 16 perlawanan, Sabah menghuni tangga kesepuluh liga dengan 15 mata, 5 mata di hadapan PDRM di tangga tercorot.
Garrido mengakui beliau belum berpuas hati sepenuhnya dengan keputusan perlawanan terdahulu, namun tetap melihat perkembangan positif dalam pasukannya.
“Saya tidak boleh katakan saya gembira dengan keputusan seri itu, tetapi pasukan berjaya melaksanakan apa yang saya minta dalam tempoh yang sangat singkat,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memuji komitmen barisan pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi.
“Pemain saling menyokong antara satu sama lain, jadi secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan permulaan ini dan menantikan perlawanan seterusnya,” jelasnya dengan penuh keyakinan.