SUKAN LAIN
Zylane sedia hadapi kemungkinan digugur program MSN
Atlet renang berirama negara, Zylane Lee Yhing Huey, harus bersedia untuk tidak disambung kontrak bagi menjalani program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan sukan itu tidak tersenarai dalam Sukan SEA Filipina 2019.
Zylane sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila sukan itu tidak berada dalam sistem berperingkat MSN.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu akur andai dia tidak lagi ditawarkan kontrak, apatah lagi sukan tersebut tidak tersenarai dalam Sukan SEA 2019, dia bersedia untuk melupakan aksi dalam Kejohanan Akuatik Dunia, Julai depan.
Iklan
Tidak mampu untuk menyertai kejohanan antarabangsa dengan menggunakan wang poket sendiri, Zylane hanya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran sekiranya tiada program latihan ditawarkan.
"Setakat ini, belum ada berita tawaran kontrak baru daripada MSN berikutan kekangan kewangan dan penstrukturan semula program berperingkat yang menetapkan Sukan SEA sebagai kejohanan utama terendah.
"Dengan atlet bawah 21 tahun diletakkan dalam skuad pelapis, jadi masih belum ada perkembangan mengenai kedudukan saya.
"Kemungkinan besar saya tidak akan ditawarkan kontrak baru," kata Zylane.
Atlet berusia 27 tahun berkenaan, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan bahu kanan selepas dua kali menjalani pembedahan November lalu, mula kembali berlatih di kolam renang sebelum keputusan muktamad berhubung masa depannya diketahui bulan depan.
"Pembedahan yang dijalankan November lalu memerlukan tempoh sebulan untuk pulih.
"Selepas dua bulan lebih, kini barulah saya mula berlatih bersama pasukan," ujarnya.
Must-Watch Video